BERITA


Y.B. GANABATIRAU MERIAHKAN PROGRAM KASIH RAMADHAN INPENS 2018

(01/06/2018)

31 Mei 2018 – Y.B. Ganabatirau a/l Veraman semalam telah hadir merasmikan Program Kasih Ramadhan bersama pelajar INPENS International College (INPENS) 2018 yang diadakan di kampusnya di Kuala Selangor. Program yang dianjurkan dengan kerjasama Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin Negeri Selangor itu dihadiri lebih 500 orang pelajar INPENS.

Y.B. Ganabatirau dalam ucapannya berkata Kerajaan Negeri akan menjadikan INPENS sebagai hab pendidikan kemahiran yang menawarkan pengajian high-level TVET (Technical and Vocational Educational Training) sama seperti diamalkan di Jerman dan Jepun. Selepas ini juga, INPENS akan bekerjasama dengan lebih banyak industri-industri berstatus multinasional sebagai galakan menyemarakkan lagi gelombang Industri 4.0, ujar beliau lagi.

Sementara itu, Ketua Eksekutif INPENS, Ahmad Zabri Mohd Yaman berkata, INPENS berbangga dipilih sebagai antara destinasi pertama yang dilawati Y.B. Ganabatirau selepas kemenangan pada pilihanraya yang lalu. Beliau turut menyatakan permintaan kemasukan INPENS meningkat dengan drastik sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Faktor peningkatan ini adalah kerana kebolehpasaran graduan kemahiran dalam pelbagai industri berimpak global selain peluang keusahawanan yang tinggi. Oleh itu, INPENS komited dalam menaik taraf prasarananya, mengeratkan hubungan dengan industri dan menambah nilai tenaga pengajar yang terlibat.

Pada masa sama, INPENS kini membuka tawaran pembiayaan Program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) kepada mereka yang berkelayakan untuk mengikuti bidang kemahiran elektrik dan automotif bermula Julai ini. Mereka yang memenuhi syarat, boleh membuat permohonan secara terus ke kampus INPENS atau memohon secara atas talian di www.inpens.edu.my.  

#CemerlangBersamaINPENS