BERITA


PROGRAM KEMAHIRAN TEKNIKAL NEGERI SELANGOR: RM5 JUTA UNTUK BIAYA PELAJAR KEMAHIRAN

(16/03/2018)

Seramai 349 orang pelajar telah menerima surat tawaran Program kemahiran Teknikal Negeri Selangor untuk pembiayaan pengajian mereka di INPENS. Majlis tersebut telah disempurnakan Exco Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, Y.B. Tuan Ganabatirau a/l Veraman. Hadir sama, Penolong Pengarah Seksyen Sektoral, Unit Perancang Ekonomi Selangor, Cik Siti Sarah Abu Samah.

Di dalam ucapannya, Y.B. Tuan Ganabatirau berkata kesemua pelajar yang terlibat menerima pembiayaan penuh oleh Kerajaan Negeri dengan peruntukan sebanyak RM5 juta. Menurut beliau lagi, ia merupakan peruntukan khusus bagi menaja anak Selangor mengikuti Latihan Teknikal dan Pendidikan Vokasional (TVET) di INPENS yang merangkumi yuran pengajian, penginapan asrama, makanan dan elaun sara diri.

Menurut beliau lagi, Kerajaan Negeri percaya graduan INPENS adalah berkualiti dan mampu bersaing secara positif. Kerajaan Negeri juga percaya pelajar INPENS bersedia menghadapi gelombang Industri 4.0 yang galak diperkatakan dan sebagai langkah awal INPENS sudah menjalinkan kerjasama dengan banyak penggiat industri.

Sementara itu, Y.B. Tuan Ganabatirau berkata, sehingga Februari lalu, seramai 3,913 pelajar telah menerima pembiayaan daripada Kerajaan Negeri. Terdahulu, dalam Belanjawan Selangor 2018, Kerajaan Negeri memberi peruntukan tambahan RM1 juta menjadikan RM5 juta bagi membiayai pelajar INPENS daripada keluarga kurang berkemampuan.