BERITA


PROGRAM BUMI HIJAU INPENS - PUPUK KESEDARAN MEMELIHARA ALAM SEKITAR

(02/02/2017)

02 Februari 2017 – Hari ini telah berlangsung aktiviti Gotong-Royong Perdana Peringkat INPENS yang bertemakan Bumi Hijau dan turut disertai oleh seramai 32 orang kakitangan PERODUA yang menjalankan aktiviti CSR mereka. Selain itu program ini turut melibatkan kerjasama daripada Jabatan Pertanian Daerah Kuala Selangor dan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS).

   Program ini dijayakan bagi menyatakan sokongan kepada Kerajaan Negeri Selangor yang telah memansuhkan penggunaan beg plastik bagi tujuan memelihara alam sekitar. Selain itu, kerja-kerja pembersihan juga dilaksanakan untuk menghapuskan tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes.

     Pelbagai aktiviti telah berlangsung pada hari ini seperti kerja-kerja pembersihan sekitar kolej termasuklah menanam pokok-pokok, memotong rumput, membersihkan surau dan asrama, mengecat tiang-tiang besi dan kotak parkir,  serta pembersihan kawasan semua longkang di sekitar kolej. Rata-rata pelajar yang ditemui seronok dengan aktiviti ini kerana mereka berpeluang menyumbangkan tenaga bagi menjayakan misi ini.

      Kemuncak program ini adalah aktiviti menanam pokok yang telah disempurnakan oleh Tuan Ahmad Zabri Mohd Yaman selaku Pemangku Ketua Eksekutif INPENS, PERODUA pula diwakili oleh Encik Faisal, manakala MDKS diwakili oleh Encik Pipiudin. Diharapkan program ini akan menyuburkan ikatan ukhuwah di antara INPENS dan PERODUA selain memupuk kesedaran menjaga alam sekitar untuk seluruh warga INPENS.