BERITA


PROGRAM USAHA SAMA BENGKEL PENGURUSAN MAKANAN HALAL KUIS & INPENS

(20/01/2018)

KUIS dan INPENS selaku IPT di bawah Kerajaan Negeri Selangor sekali lagi bekerjasama dalam Bengkel Pengurusan Halal yang melibatkan kira-kira 100 orang pelajar KUIS dan INPENS. Program yang dijalankan di Kampus INPENS ini turut melibatkan modul penyembelihan demi memastikan peserta yang terlibat memahami konsep halal yang sebenarnya. Pengisian lain seperti topik suci dan syubhah dalam makanan turut dibincangkan di dalam program ini.

Program tersebut telah dirasmikan oleh Dr. Hairol Anuar bin Mak Din yang juga Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Teras KUIS. Hadir sama menjayakan program tersebut ialah barisan tenaga pengajar Sektor Kulinari & Pastri INPENS yang diketuai oleh Puan Nur Waheeda binti Abdul Rahman.

Dr. Hairol yang ditemui berkata, masyarakat kini hanya mengetahui konsep halal dan haram dalam makanan hanya pada konsep asas sahaja. Walhal sebenarnya istilah 'makanan halal' ini mempunyai pengertian yang cukup meluas dan mendalam. Oleh itu, KUIS yang memberikan penumpuan kepada pengetahuan islamik wajar bekerjasama dengan INPENS yang mengkhususkan pendidikan kemahiran di dalam pebagai bidang termasuklah bidang kulinari dan pastri. Ini bagi memastikan, penerus legasi di negara ini memahami konsep halal dalam makanan dengan sebenar-benar pengertian.