BERITA


INPENS DIIKTIRAF SEBAGAI PUSAT LATIHAN BERTAULIAH OLEH JABATAN ALAM SEKITAR MALAYSIA

(25/01/2017)

25 Januari 2017 - INPENS International College (INPENS) hari ini telah menandatangani Surat Persetujuan Pelantikan sebagai Pusat Latihan Bertauliah bagi Sektor Penyejuk Bekuan dan Penyamanan Udara oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS). Seiring dengan pelantikan ini, INPENS sebagai sebuah institusi kemahiran di bawah Kerajaan Negeri Selangor telah diberikan kepercayaan untuk melaksanakan Program Persijilan Juruteknik bertauliah (Certification of Service Technician – CSTP) kepada dua golongan sasaran iaitu pelajar-pelajar kemahiran dan pekerja-pekerja industri.

        INPENS telah diwakili oleh Encik Mohd Harizal bin Ab Ghani yang juga Ketua Sektor Teknologi Penyamanan Udara INPENS untuk menandatangani Surat Persetujuan Pelantikan tersebut manakala JAS telah diwakili oleh Encik Mohamed Fauzi bin Abdul Aziz iaitu Penolong Pegawai Kawalan JAS. Encik Mohamed Fauzi yang ditemui berkata lantikan ini dibuat berdasarkan komitmen dan kepakaran INPENS dalam melatih pelajar-pelajar kemahiran untuk memastikan teknologi penyejuk bekuan dan penyamanan udara yang diamalkan di Malaysia mampu melindungi alam sekitar. Beliau turut berkata, penipisan ozon merupakan ancaman besar kepada alam sekitar dan sangat berbahaya kepada generasi akan datang jika tidak ditangani pada masa ini.  

        JAS dalam masa sama turut menyerahkan dua set mesin Recovery & Recyling (R&R) kepada INPENS yang bertujuan menjayakan Projek Pelan Pengurusan Penghapusan. Projek ini merupakan sebahagian daripada proses penghapusan penggunaan Hidroklorofluorokarbon (HCFC) iaitu gas yang digunakan di dalam alat penyamanan udara yang menjadi kepada fakor penipisan ozon.