BERITA


INPENS RAIH GANGSA DI ASIAN CULINARY CHALLENGE 2017

(29/11/2017)

INPENS International College terus tuntas dalam memartabatkan Pendidikan Teknikal dan Kemahiran Vokasional (TVET) dengan menyertai lebih banyak pertandingan kemahiran berskala antarabangsa. Terbaharu, INPENS yang diwakili Nik Hasnah binti Mahmod yang berusia 18 tahun telah berjaya meraih Pingat Gangsa di Asian Culinary Challenge 2017 (ACC) pada 28 November 2017.

Beliau yang merupakan pelajar dari jurusan Pembuatan Pastri di INPENS telah menyahut cabaran untuk bersaing di dalam acara Apprentice Dress The Cake (Individual-Class 4). ACC 2017 yang diadakan di Kuantan, Pahang berlangsung mulai semalam hingga 30 November ini turut mempertandingkan 24 acara lain dengan penyertaan seramai 281 pelajar kulinari dan pastri dari seluruh Malaysia dan Asia Tenggara.

Chef Nur Waheeda yang juga Ketua Sektor Kulinari & Pastri INPENS berkata pertandingan ini merupakan platform terbaik untuk Nik Hasnah mempamerkan potensi dan kemahiran beliau.

“Pertandingan ini juga dibarisi chef-chef tersohor dalam dan luar negara sebagai para juri. Malahan ACC 2017 turut menjemput KDYTM Tengku Puan Pahang, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sebagai juri DiRaja.”

“Antara barisan juri lain yang ternama adalah Chef Jamnong Nirungsun dari Thailand, Chef Michieletto Federico dari Itali dan dua chef selebriti tempatan iaitu Chef Sabri Hassan dan Chef Zubir Zain. ACC 2017 juga telah melantik Chef Jochen Kern dari Jerman sebagai Ketua Juri”

“Oleh itu, pelajar yang bertanding bukan sahaja mendapat pengalaman yang berharga malahan boleh mencedok ilmu melalui nasihat-nasihat yang diberikan para juri”. Ujar beliau lagi.

Sementara itu, Ketua Eksekutif INPENS, Ahmad Zabri Mohd Yaman berkata INPENS telah mula memperkenalkan Kursus Pembuatan Makanan (kulinari) dan Pembuatan Pastri sejak 2016 kerana permintaan yang tinggi terhadap graduan kursus ini sama ada di industri-industri pembuatan makanan halal, restoran dan perhotelan.

“Mereka yang mempelajari kedua-dua kursus ini juga berpotensi untuk bergelar usahawan kemahiran jika mempunyai semangat keusahawanan yang tinggi. Mereka yang meminati bidang kulinari dan pastri boleh menyertai INPENS dengan sesi pengambilan seterusnya pada 9 Januari 2018.”

Ahmad Zabri turut berkata penyertaan INPENS di dalam banyak pertandingan kemahiran membuktikan INPENS komited dalam menjayakan peranannya sebagai hab melahirkan belia-belia yang berkemahiran dan seterusnya menjadi graduan idaman majikan.

“INPENS pada masa ini juga sedang bersiap sedia untuk melahirkan lebih banyak sumber daya manusia yang berkemahiran untuk memakmurkan negeri ini dengan keterlibatan dalam industri-industri berimpak tinggi” akhiri beliau.