BERITA


LAWATAN BPSM BAKAL MANTAPKAN TVET DI INPENS

(22/11/2017)

22 November 2017 – Hari ini INPENS telah menerima lawatan daripada Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) Negeri Selangor yang diketuai Tuan Haji Zamani Ahmad bin Haji Mansor. Turut mengiringi lawatan beliau adalah Encik Muhamad Faiz bin Mohamed Yusof yang juga Ketua Penolong Setiausaha (Dasar) dan Encik Mohd Azreen bin Ariffin iaitu Penolong Setiausaha (Pendidikan Tinggi).

            Lawatan ini adalah bertujuan melihat perkembangan transformasi yang sedang rancak dijalankan di INPENS. Tuan Haji Zamani Ahmad yang teruja dengan perkembangan komprehensif ini turut memuji usaha INPENS dalam memperkasakan TVET di Negeri Selangor. Beliau turut melihat semua proses transformasi ini akan meletakkan INPENS sebagai bertaraf industri serta mampu melahirkan graduan yang berkemahiran tinggi pada masa akan datang. Beliau turut yakin dengan pelbagai peruntukan yang dibentangkan oleh YAB Dato’ Menteri Besar Selangor ketika Belanjawan Negeri Selangor baru-baru ini, TVET di INPENS akan bertambah mantap. 

          Sementara itu, Tuan Ahmad Zabri Mohd Yaman yang juga Ketua Eksekutif INPENS berkata, lawatan seperti ini adalah signifikan dalam memastikan peranan INPENS sentiasa selari dengan agenda Kerajaan Negeri Selangor. Menjelang 2018 juga, INPENS akan bangun dengan sebuah identiti baharu yang turut menekankan hubungan erat bersama industri-industri yang berimpak global di dalam bidang automotif, elektrik dan penyamanan udara. Ahmad Zabri turut berkata, INPENS tidak pernah ragu-ragu dalam merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri Selangor untuk “Membangun Bangsa Memakmur Negeri” apatah lagi hasrat ini turut mengambil kira TVET sebagai domain utama di dalam agenda SmartSelangor.