BERITA


PINGAT EMAS WORLDSKILLS MALAYSIA BELIA 2017 SAH MILIK INPENS!

(16/11/2017)

16 November 2017 – INPENS ternyata unggul di dalam kelasnya yang tersendiri apabila berjaya menggondol pingat emas di Worldskills Malaysia Belia (WSMB 2017) dalam bidang Teknologi Fesyen. Pingat emas milik INPENS tersebut dituai melalui wakilnya iaitu Azni Syafika binti Alizar. WSMB merupakan arena pertandingan untuk pelajar-pelajar kemahiran menunjukkan bakat masing-masing di dalam pelbagai bidang kemahiran. Pertandingan ini mempertandingkan sebanyak 22 bidang kemahiran yang disertai ratusan pelajar institusi kemahiran milik kerajaan dan swasta di seluruh Malaysia.

             INPENS pada tahun ini megah melangkah ke pentas akhir WSMB 2017 dengan menghantar dua orang peserta dalam bidang Teknologi Fesyen iaitu Azni Syafika Alizar dan Kashtoori a/p Thomas. Ketua Sektor Tekstil & Pakaian INPENS, Zalina Rahmat berkata, usaha peserta yang tidak mengenal masa dan keringat berbaloi dengan kejayaan menggondol pingat emas tersebut. Zalina juga berkata, beliau dan barisan tenaga pengajar yang terlibat akan terus melatih Azni sebagai persediaan untuk menyertai Worldskills ASEAN 2018 yang akan diadakan di Bangkok, Thailand pada Ogos 2018. Menurut beliau lagi, INPENS juga sudah bersiap sedia melatih barisan pelapis dalam bidang jahitan untuk memasuki pertandingan sama pada tahun hadapan.

          Sementara itu, Ahmad Zabri Mohd Yaman yang juga Ketua Eksekutif INPENS berkata, penyertaan dua wakil INPENS dalam bidang Teknologi Fesyen di WSMB 2017 membuktikan graduan INPENS berkemahiran dan mempunyai daya kompetitif yang tinggi. Tahun hadapan juga, WSMB bakal menyaksikan INPENS akan menghantar lebih ramai wakil untuk bidang-bidang kemahiran yang lainnya seperti elektrik, automotif dan penyaman udara. Kemenangan tahun ini juga sebenarnya adalah pencetus motivasi kepada pelajar INPENS yang lain untuk menyahut cabaran mengangkat prestij dunia kemahiran. Ahmad Zabri turut berkata, kejayaan ini menunjukkan INPENS komited memperkasakan TVET di Selangor dalam usaha menjayakan agenda SmartSelangor seperti yang diumumkan oleh YAB Dato’ Menteri Besar Selangor ketika Belanjawan Negeri Selangor baru-baru ini.