BERITA


PEMILIHAN MPP INPENS SESI 2019, PROSES DEMOKRASI YANG LANCAR DAN AMAN

(12/03/2019)

Proses Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Kolej Antarabangsa INPENS (INPENS), Kuala Selangor bagi sesi 2019 telah berjalan dengan lancarnya sekali gus membuktikan proses demokrasi bebas diamalkan di institusi ini.

Proses pemilihan yang berlangsung Jumaat lalu bermula jam 3.00 petang hingga 5.00 petang telah berjalan dengan sempurna tanpa ada sebarang gangguan. Proses kiraan undi turut dijalankan pada hari pemilihan yang turut disaksikan kesemua 44 calon bertanding.

Pengurus Hal Ehwal Pelajar INPENS, Nahar bin Sharif turut mengucapkan tahniah kepada calon yang menang dalam pemilihan kali ini dan berharap mereka dapat memikul amanah sebagai pemimpin pelajar dengan penuh dedikasi. Beliau turut berkata, barisan MPP sesi kali ini juga diharapkan membawa satu anjakan baharu dalam memastikan graduan kemahiran INPENS menjadi rebutan di kalangan industri-industri mega di negara ini.

Seramai 314 atau 59.92 peratus pelajar turun mengundi bagi sesi MPP kali ini dengan menggunakan kaedah sama yang diamalkan dalam pilihanraya umum di negara ini. Ini sekali gus memberikan peluang kepada pelajar yang rata-ratanya berusia di bawah usia 21 tahun untuk merasai sendiri pengalaman mengundi ketika pilihanraya. Selain perlu mendaftar di kaunter, beratur di saluran masing-masing, pelajar-pelajar turut dicalitkan kuku mereka dengan dakwat biru sebagai tanda sudah mengundi.

Sebanyak 20 kerusi dipertandingkan melibatkan lima kerusi umum dan lima belas kerusi sektor. Tiada calon diumumkan menang tanpa bertanding.

Sementara itu, calon umum yang menerima pemilihan terbanyak pada kali ini, Khaire bin Idris, 19, menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada rakan pelajar yang memilihnya pada kali ini.

“Saya berhasrat memastikan semua manifesto yang telah saya janjikan pada 1 Mac lalu direalisasikan dan seterusnya membawa transformasi positif kepada imej pelajar INPENS,” kata pelajar dari Sektor Tekstil dan Pakaian tersebut.