BERITA


INPENS MEGAH KE PENTAS AKHIR WORLDSKILLS BELIA 2017

(14/08/2017)

             INPENS pada tahun ini megah melangkah ke pentas akhir Pertandingan WorldSkills Belia 2017 (PWSB 2017) dengan menghantar dua orang peserta dalam bidang jahitan. PWSB 2017 diadakan di CIAST, Shah Alam bermula dari 12 hingga 14 Ogos. Terdahulu, Azni Syafika Alizar dan Kashtoori a/p Thomas telah mengungguli tiga tempat teratas pada peringkat pra kelayakan yang diadakan di Pulau Pinang pada April lalu. Kashtoori yang ditemui berkata, beliau sangat bersyukur dapat melangkah ke pentas akhir PWSB 2017 berkat latihan gigih dan tunjuk ajar yang diberikan tenaga pengajar INPENS. Beliau dan Azni juga berharap dapat menggenggam Anugerah Tangan Emas yang menjadi rebutan peserta yang bertanding.

             Ketua Sektor Tekstil & Pembuatan Pakaian INPENS, Zalina Rahmat berkata, INPENS tekad mahu mengulangi kejayaan memenangi Anugerah Tangan Emas dalam bidang jahitan pada tahun 2012. Penghantaran dua wakil ini merupakan strategi INPENS untuk meningkatkan kebarangkalian merangkul anugerah tersebut. Anugerah Tangan Emas merupakan anugerah tertinggi yang diberikan kepada pelajar-pelajar kemahiran di negara ini. Sebelum ini juga, INPENS telah menghantar wakil dalam bidang dandanan rambut ke WorldSkill ASEAN yang diadakan di Hanoi, Vietnam pada tahun 2014.

          Sementara itu, Ahmad Zabri Mohd Yaman yang juga Ketua Eksekutif INPENS berkata, penyertaan dua wakil INPENS di PWSB 2017 menunjukkan graduan INPENS sememangnya berbakat dan berkemahiran. Umum juga mengetahui bahawa PWSB adalah pertandingan yang sangat berprestij yang mengumpulkan graduan kemahiran dari seluruh negara, oleh itu, INPENS sangat berbangga dengan pencapaian ini, ujar beliau lagi. Ahmad Zabri turut berkata, INPENS komited menyokong usaha graduannya yang bersungguh-sungguh menyertai pertandingan seperti ini, malahan beliau berpendapat pengalaman yang diperolehi adalah sangat berharga serta tidak dapat dijual beli. Beliau turut menambah, INPENS melahirkan kira-kira 500 orang graduan mahir setiap tahun, lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang berminat mendalami bidang kemahiran di INPENS Kuala Selangor boleh membuat permohonan segera bagi sesi pengambilan Oktober 2017 di laman sesawang INPENS di www.inpens.edu.my, akhiri beliau.

 

 1

 

2

 

3