BERITA


MENDEDAHKAN DUNIA KEMAHIRAN MELALUI PROGRAM JOM MASUK INPENS

(01/10/2018)

Kolej Antarbangsa INPENS (INPENS) hari ini telah melancarkan ‘Program Jom Masuk INPENS’ (JMI) yang bertujuan memberi peluang kepada calon SPM 2018 untuk meninjau sendiri suasana pembelajaran di INPENS. Program yang bermula 1 hingga 9 Oktober itu mempelawa kehadiran calon-calon SPM 2018 daripada 19 buah sekolah di sekitar Daerah Kuala Selangor.

Selain dapat melawat persekitaran INPENS, pelajar-pelajar sekolah ini akan dibawa ke sektor-sektor kemahiran di INPENS untuk melihat dengan lebih dekat peralatan pembelajaran dan hasil-hasil produk kemahiran yang ada. Sebelum memulakan lawatan, pelajar-pelajar ini akan diberikan taklimat kursus dan pendedahan berkenaan peluang-peluang kerjaya graduan kemahiran.

Inisiatif ini diwujudkan untuk menarik minat belia-belia Selangor menceburi dunia kemahiran memandangkan jumlah graduan kemahiran di negara ini masih jauh ketinggalan berbanding negara-negara serantau.  INPENS juga selaku institusi kemahiran di bawah Kerajaan Negeri Selangor berperanan dalam memberikan latihan kemahiran dengan standard industri sekali gus menjayakan agenda Negeri Selangor dalam penyediaan sumber daya manusia yang berkemahiran untuk memajukan negeri dalam industri berimpak tinggi.

Salah seorang pelajar yang ditemui Farah Izzaty (17 tahun) dari SMK Sungai Burong berkata, pengalaman yang diperolehi sangat unik kerana mereka berpeluang menggunakan mesin-mesin dan peralatan yang ada sekali gus mencetuskan minat untuk memasuki INPENS. Farah Izzaty yang ditemui juga berminat dengan kursus kecantikan dan berhasrat menjadi tenaga profesional di dalam industri kosmetologi kelak.

Sekolah-sekolah yang dipelawa menyertai JMI adalah SMK Sungai Burong, SAM Tanjung Karang, SMK Seri Desa, SMK Dato’ Harun, SMK Tiram Jaya, SMK Pengkalan Permatang, SMK Sultan Abdul Aziz Shah, SMK Seri Tanjong, SMK Saujana Utama, SMK Puncak Alam 3, SMK Puncak Alam, SMK Rantau Panjang, SMK Raja Muda Musa, SMK Sultan Sulaiman Shah, SMK Bukit Kuching Tengah, SMK Jeram dan SAM Jeram. INPENS bakal membuka sesi kemasukan seterusnya pada Januari 2019, sebarang pertanyaan berkenaan kemasukan boleh dibuat di talian 03-3281 2617 / 19.