BERITA


SINAR HARIAN : PENDIDIKAN TVET MASIH KETINGGALAN

(13/09/2018)

SHAH ALAM - Sektor pendidikan latihan teknikal dan vokasional (TVET) di negara ini didakwa masih lagi ketinggalan berbanding negara maju seperti  Jepun, Korea Selatan, dan Jerman.

Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Malaysia hanya mempunyai 28 peratus tenaga mahir daripada jumlah tenaga kerja negara dan jumlah itu didakwa masih rendah berbanding Singapura, Taiwan dan Korea Selatan.

Menurutnya, faktor utama menyumbang kepada keadaan itu disebabkan persepsi masyarakat yang cenderung melihat kepada kelayakan akademik berbanding bidang kemahiran teknikal dan vokasional.

Menyedari hakikat itu, katanya, Kerajaan Selangor menerusi penubuhan  Inpens International College (Inpens) berhasrat menjadikan pendidikan kemahiran dan vokasional sebagai pilihan utama pendidikan di negeri ini.

Beliau berkata, ia berikutan kerajaan negeri komited memastikan bilangan tenaga mahir dipertingkat  mencapai sasaran 50 peratus dalam tempoh beberapa tahun akan datang bagi memastikan Selangor kekal gah sebagai negeri perindustrian berpendapatan tinggi.

“Kerajaan negeri beri pilihan sepenuhnya kepada rakyat untuk memilih sama ada aliran akademik atau kemahiran tanpa mengambil kira kelayakan akademik ketika bersekolah.

“Kami percaya kehadiran lebih ramai graduan berkemahiran akan merancakkan ekonomi di negeri ini. Malah saya juga harap Selangor mampu jadi pembekal utama tenaga mahir kepada industri berskala mega di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan perasmian Majlis Konvokesyen Inpens kali ke-22 di Auditorium Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, di sini, pagi tadi.

Amirudin berkata, sokongan kerajaan negeri terhadap galakkan pendidikan kemahiran turut disokong dengan peruntukan dicadang dalam Belanjawan Negeri Selangor 2018 yang diumum bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, November lalu.

Katanya,  kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM28.5 juta untuk pendidikan tinggi  tahun lalu.

“Peruntukan ditambah kepada RM 101.73 juta tahun ini, sebahagian besar daripadanya untuk jayakan TVET yang kini menjadi agenda utama pendidikan negara. Untuk mencapai matlamat ini, kerajaan negeri laksana Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (Iktisass) dengan peruntukan RM 52 juta.

“Kerajaan negeri juga masih kekalkan semua pembiayaan pendidikan untuk anak-anak Selangor termasuklah Program Peduli Siswa, Tabung Kumpulan Biasiswa Negeri Selangor dan Tajaan Program Kemahiran Teknikal Negeri Selangor,” katanya.

Tambahnya lagi, Iktisass  melibatkan Inpens sebagai rakan strategik menawarkan biasiswa kepada belia di Selangor untuk mengikuti bidang kemahiran seperti automotif, motosikal, elektrik, penyamanan udara dan sistem komputer.

Kredit Sinar Harian
NUR FARHANA ABDUL MANAN
13 SEPTEMBER 2018

Pautan artikel penuh : http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/pendidikan-tvet-masih-ketinggalan-1.879514