BERITA


KOLEJ INPENS KOMITED MEMBERDAYA BIDANG INOVASI MELALUI AINS 2017

(20/07/2017)

             INPENS International College (Kolej INPENS) terus komited memberdaya bidang inovasi di kalangan warganya. Terbaharu, Kolej INPENS telah menghasilkan empat produk bagi menyertai Anugerah Inovasi Negeri Selangor 2017 (AINS 2017) peringkat Daerah Kuala Selangor yang diadakan pada 20 Julai yang lalu.

             Ketua Eksekutif INPENS, Ahmad Zabri Mohd Yaman berkata penyertaan INPENS di AINS merupakan rutin tahunan kolej tersebut. Penyertaan INPENS di AINS adalah sebagai bukti sokongan kepada pertandingan tersebut selain ia turut bertepatan dengan karakter INPENS selaku institusi pengajian kemahiran yang ulung Negeri Selangor. Tahun ini merupakan tahun ketiga INPENS menyertai AINS di mana INPENS mempertaruhkan empat produk yang berkaitan dengan kursus kemahiran yang ditawarkan di INPENS. Di antara produk yang dipertandingkan ialah MA Board, Motor KU, Smart Hammer dan Smart Car Dolly.

             Menurut beliau lagi, MA Board merupakan hasil inovasi pelajar-pelajar pembuatan pakaian di INPENS di mana produk tersebut bukan sahaja berfungsi sebagai meja seterika, tetapi ia juga boleh dijadikan kerusi dan tangga. Motor Ku pula ialah hasil inovasi khas untuk membantu golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) menaiki motosikal yang lebih bersesuaian dengan fizikal mereka manakala kos yang diperlukan adalah sangat minimum.

          Ahmad Zabri turut berkata INPENS sangat menggalakkan warganya untuk menceburi bidang inovasi memandangkan ia sangat sinonim dengan pendidikan kemahiran. Pada masa akan datang, INPENS turut akan menghantar penyertaan inovasinya ke pertandingan peringkat kebangsaan dan antarabangsa bagi memberikan lebih banyak pengalaman dan pendedahan kepada peserta yang terlibat. Beliau dalam masa sama, sentiasa mengalu-alukan kehadiran belia yang kreatif dan berinovasi untuk mendaftar di Kolej INPENS.

 

6

1

2

4