BERITA


INPENS TIDAK KOMPROMI BUDAYA BULI

(20/07/2017)

 

20 Julai 2017 – Hari ini telah berlangsung Program Bual Bicara ‘Budaya Buli dan Tular Media Sosial’ bagi mendidik minda para pelajar di INPENS bagi menjauhi budaya buli yang heboh diperkatakan kebelakangan ini. Program bual bicara ini telah diadakan bersempena dengan Majlis Sambutan Hari Raya INPENS 2017. Program ini telah mendapat kerjasama Jawatankuasa Tetap Pembangunan Sosial Negeri Selangor dengan menjemput MC Alif sebagai moderator manakala Ustazah Isfadiah Dasuki dan artis Ardell Aryana sebagai panel jemputan.

             Di dalam bual bicara tersebut, Ustazah Isfadiah menjelaskan bahawa budaya buli bukan sahaja boleh mencedarakan fizikal seseorang malahan kesihatan emosi individu yang terlibat boleh terjejas. Beliau menjelaskan lagi, tiada kebaikan yang akan diperolehi melalui perbuatan buli dan dendam akan tersemat bagi tempoh yang lama. Pelakon Ardell juga telah berkongsi pengalaman beliau dibuli ketika zaman persekolahan beliau dan turut kesal kerana perbuatan buli juga telah Menyebabkan kehilangan nyawa kepada dua remaja lelaki baru-baru ini.

             Ketua Eksekutif INPENS, Ahmad Zabri Mohd Yaman ketika ditemui berkata, program ini dianjurkan bagi membuktikan INPENS tidak akan berkompromi dengan budaya buli. Jelas beliau lagi, institusi pengajian sememangnya sinonim dengan budaya buli, tetapi ia bukanlah budaya yang perlu diwariskan kepada generasi seterusnya serta perlu dihentikan dengan serta merta. Ahmad Zabri turut berkata, bukan sahaja masa depan mangsa buli boleh terjejas, pembuli yang didakwa juga akan mempunyai masa depan yang gelap.

          Beliau turut menyeru agar para belia khususnya pelajar INPENS menjauhi perbuatan buli ini sama sekali. INPENS juga dalam masa sama sentiasa menyediakan peluang pendidikan kemahiran kepada belia-belia negara yang bukan saja berkemahiran dan menjadi idaman majikan tetapi mepunyai jati diri yang cemerlang. Beliau dalam masa sama berharap, semua graduan yang dilahirkan INPENS akan menjauhi budaya buli waima telah beranjak ke dunia pekerjaan.

 

1

 2

3

4

5